Banyak perkara yang manusia ketahui tapi tidak tahu rahsianya di
sebaliknya. Antara perkara-perkara yang manusia tahu tetapi mereka tidak
tahu rahsianya ialah…
1. Di antara cara mendidik manusia menjadi baik ialah dengan usaha menyakitkan nafsunya.
2. Jika seorang muslim mati bersama sakit zahirnya, maka itu adalah
penghapusan dosanya atau dia mendapat darjat di dalam Syurga. Sebaliknya
kalau dia mati bersama penyakit batinnya, dia akan ke Neraka.
3. Manusia yang berpenyakit lahir (fizikalnya), sakitnya boleh
merosakkan anggotanya sahaja tetapi manusia yang berpenyakit batin boleh
merosakkan semua yang ada di dunia. Banyak perkara yang akan
dirosakkannya.
4. Sesuatu perkara atau benda yang kita suka, sangat sukar untuk kita
tadbir dan mengurusnya. Biasanya selalu sahaja kita melakukan kesalahan
di dalam mengurusnya.
5. Banyak orang boleh memperkatakan penyakit batin tetapi gagal
mengesannya. Lantaran itulah ada orang waktu menceritakan penyakit
sombong, pada masa yang sama dia sedang memakai sifat itu.
6. Mendidik manusia secara tidak formal dan dari sikap diri kita lebih berkesan daripada sekadar memberi ilmu dan teorinya.
7. Ramai manusia dirosakkan oleh makhluk yang paling bodoh, yang
tiada akal dan tidak bersekolah iaitu duit dan harta. Bahkan orang yang
paling pandai seperti profesor pun dirosakkannya.
8. Bangsa yang mempunyai sifat taqwa dan ilmu akan menguasai manusia
lain. Begitu pun banyak bangsa tidak boleh menempuh jalan ini. Maka
mereka menguasai bangsa lain dengan kekuatan lahirnya tetapi
kerosakannya terlalu banyak.
9. Orang yang memiliki dunia selalunya jiwanya tidak tenang. Orang
yang memiliki Allah, jiwanya tenang. Justeru itu orang yang memiliki
dunia ada yang membunuh diri sendiri. Ini tidak berlaku kepada orang
yang memiliki Tuhan.
10. Orang yang membunuh dirinya sendiri lebih besar dosanya daripada orang yang membunuh orang lain.
11. Kehidupan manusia di dunia ini sebenarnya mudah diselesaikan jika
tahu rahsianya. Iaitu dengan iman dan taqwa. Nanti akan berlakulah,
pemimpin menaungi dan menegakkan keadilan, orang kaya akan pemurah,
orang miskin sabar, orang berilmu memberi ilmu, ulama-ulama memberi
nasihat dan mendidik dan pemuda-pemudi memberi tenaga. Semua manusia
bermaruah dan bersifat malu. Setiap orang akan mengutamakan orang lain.
Anak yang kecil ditunjukkan kasih sayang, anak yang masih bersekolah
jangan tunjuk sayang atau benci manakala terhadap anak yang sudah
dewasa, tunjukkan kemesraan dan selalu dijadikan kawan berbincang.
12. Seseorang manusia itu akan dikasihi atau diberi simpati kalau dia kenal dirinya dan pandai meletakkan diri pada tempatnya.
13. Telah menjadi tabiat semula jadi manusia setiap orang sukakan
keamanan, kasih sayang, simpati, dibantu, dihormati,dan tidak diganggu.
Namun adakalanya manusia itu lupa, bahkan lumrah berlaku perkara yang
dia tidak suka itu disebabkan oleh dirinya sama ada secara langsung
mahupun tidak. Sebagai contoh, apabila seseorang itu zalim, orang lain
akan berdendam dan membuat kacau hingga hilang keamanan. Bila tiada
keamanan, penzalim juga turut susah dan terancam. Bila orang kaya
bakhil, banyak orang dengki dan sakit hati. Risikonya dia juga ikut sama
menanggung. Bila seseorang itu sombong, orang benci. Jika berlaku
sesuatu keadaan yang menyusahkannya, orang tidak akan ambil peduli dan
orang tidak bersimpati. Jadi, sikap kita itulah adakalanya mengundang
bala atau kesusahan. Bolehlah kiaskan dengan sikap-sikap yang lain.
Credit to http://www.usahataqwa.com
No comments:
Post a Comment